Artikel

Graduan PhD Kalangan Belia Kini Semakin Ramai, Tatkala Pasaran Buruh Kian Mencabar – KRI

Anak muda negara seringkali dimomok, adanya tahap pendidikan yang tinggi ia berpotensi membawa kita kepada peluang pendapatan yang lebih baik. Secara umumnya kenyataan itu tidak salah namun sebaliknya berlaku dalam pasaran ekonomi semasa – apabila realitinya masih ramai graduan Malaysia yang miliki gaji rendah, peluang pekerjaan yang terhad dan setakat 2021 didapati 1.6 juta pekerja Malaysia yang berpendidikan tinggi, tidak miliki pekerjaan setara dengan pendidikan mereka.

Kenyataan ini tidak hanya menyentuh isu kumpulan Ijazah Sarjana Muda sahaja, bahkan kumpulan pendidikan di peringkat Doktor Falsafah (PhD) turut berdepan kekangan yang sama.

Tahukah anda, berlandaskan tinjauan Khazanah Research Institute (KRI) – dalam tempoh 10 tahun didapati jumlah graduan dalam kalangan belia di peringkat PhD kini telah meningkat 3 kali ganda dari 1,247 graduan (0.06%) pada 2010 kepada 4,560 graduan (1.4%) pada 2020.

Akan tetapi disebalik peningkatan jumlah ini, kadar pengangguran dalam kalangan belia PhD juga turut melonjak, dari bawah 7% kepada lebih 16%. Ini meliputi pengangguran melibatkan graduan dalam sektor ekonomi seperti ;

  • Kejuruteraan, Pembuatan dan Pembinaan (35.6%)
  • Sains Sosial, Perniagaan dan Undang-undang (25.7%)
  • Sains, Matematik dan Komputer (20%)

Menurut KRI, antara faktor yang meningkatkan paras pengangguran ini adalah faktor kebolehpasaran mereka yang dilihat lebih rendah berbanding graduan PhD berusia 35 tahun ke atas. Situasi ini berlaku susulan kekurangan pengalaman dan sering dikaitkan sebagai kelompok memilih pekerjaan – sekaligus telah menjadikan faktor ketidaksepadanan pekerjaan semakin meningkat dalam kalangan graduan belia PhD.

Secara menyeluruh, KRI mendapati hakikatnya masih terdapat pelbagai kelompongan peluang untuk graduan PhD. Ini kerana fokus pendidikan PhD negara dilihat lebih tertumpu kepada kajian asas dan gunaan, situasi tersebut secara langsung menyebabkan kurang penghasilan produk inovasi untuk pasaran. Sedangkan di pasaran Malaysia kebanyakkannya tertumpu kepada PKS iaitu kemahiran yang lebih rendah dan tahap R&D juga rendah.

Maka tidak hairanlah sekiranya graduan belia PhD negara tidak memiliki peluang industri yang luas – susulan kapasiti pasaran yang terhad telah mengakibatkan tahap pengalaman mereka juga rendah dan perlu bersaing untuk mendapat tempat dalam bidang akademik, walhal realitinya jumlah jawatan akademik yang tersedia di pasaran negara juga adalah terhad.