Artikel

MAVCOM Pertimbang Kenakan Denda – Terhadap Syarikat Yang Jadualkan Semula Penerbangan

Bagi memastikan hak pengguna terus terpelihara dalam perkhidmatan pengangkutan, MAVCOM – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia kini dalam pertimbangan untuk kenakan denda lebih tinggi ke atas syarikat penerbangan yang bertindak menjadualkan semula perjalanan mereka.

Langkah itu merangkumi pengenaan denda lebih tinggi ke atas tindakan penangguhan atau pembatalan penerbangan.

Buat pengetahuan umum, setakat ini di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016, Syarikat penerbangan yang membatalkan penerbangan atas faktor di bawah kawalan syarikat penerbangan seperti teknikal atau kapasiti penumpang yang tidak memuaskan menyebabkan penerbangan tersebut dilewatkan atau dibatalkan adalah tertakluk untuk menawarkan pembayaran ganti dalam masa 30 hari atau perubahan laluan sepertimana yang diperuntukkan di dalam Kod Perlindungan Pengguna 2016 (MACPC).

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) pada jawapan lisan Parlimen, tindakan kod perlindungan pengguna ini wajar diperkasakan lagi untuk memastikan kebajikan pengguna dilindungi. MAVCOM dimaklumkan berupaya mengenakan penalti tidak lebih RM200,00 sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi aturan MACPC.

Setakat ini, MAVCOM memaklumkan proses penambahbaikan aturan sedang dilaksanakan dan dijangka akan selesai pada suku kedua 2023.