Artikel

AirAsia X Ingin Akhiri Status PN17, Jangka Serah Pelan Pelarasan Semula Pada Februari 2023

Seperti yang umum ketahui, sejak Januari 2022 – AirAsia X telah dikategorikan sebagai syarikat berstatus PN17, iaitu Nota Amalan 17 oleh Bursa Malaysia Securities.

Maka untuk menangani status PN17 ini, AAX menjangkakan untuk mengumumkan pelan regulasisasinya kepada Bursa Malaysia Securities pada bulan Januari 2023, diikuti dengan penyerahan rancangan secara rasmi untuk kelulusan pada bulan Februari 2023 kelak.

Mengikut perincian penjelasan, penyerahan pelan ini turut menjangkakan cadangan pengambilalihan cabang penerbangan Capital A Berhad iaitu AirAsia Berhad (AAB) dan AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), yang terdiri daripada pegangan saham AAAGL masing-masing dalam AirAsia Indonesia, AirAsia Filipina dan AirAsia Thailand.

Di mana selepas pengambilalihan itu, AAB, AAAGL dan AAX akan membentuk kumpulan penerbangan yang disatukan, tertakluk kepada kelulusan pihak berkepentingan AirAsia dan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.

Namun difahamkan meskipun semua syarikat penerbangan ini digabungkan dalam pendekatan konsortium tetapi ia kekal beroperasi secara berasingan.

Penjelasan startegi tersebut tidak sekadar akan mengukuhkan aliran tunai AirAsia tetapi bertujuan mengekalkan nilai syarikat bagi jangka masa panjang.

Berdasarkan langkah itu, AAX menjangka untuk menyelesaikan pelaksanaan pelan regularisasi menjelang bulan Julai 2023.


Untuk makluman umum РPN17, atau Nota Amalan (Practice Note) 17/2005 adalah suatu aturan yang ditetapkan Bursa Malaysia terhadap kumpulan syarikat yang bermasalah dari aspek kewangan. Penyenaraian ini berisiko mengakibatkan sesebuah syarikat terkeluar daripada papan Bursa Malaysia. Secara ringkasnya, entiti berkaitan gagal memenuhi kriteria minimum yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Untuk makluman ini antara ciri membawa kepada klasifikasi PN17;

  • Dana pemegang saham syarikat kurang daripada 25% daripada jumlah modal berbayar
  • Penerima telah dilantik untuk mengawal aset syarikat
  • Penggulungan beberapa anak syarikat mereka dan syarikat bersekutu
  • Juruaudit telah memberikan kenyataan negatif atau tidak seimbang tentang syarikat
  • Tidak patuhi faedah pinjaman dan pembayaran balik hutang syarikat
  • Syarikat telah menangguhkan atau menghentikan operasi
  • Syarikat tidak memiliki perniagaan ataupun operasi yang signifikan