Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini (8 September) mengumumkan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) daripada paras 2.25% kepada 2.50% – dengan peningkatan 25 mata asas.
Penetapan ini dicapai berasaskan perbincangan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), di mana faktor peningkatan adalah disebabkan aktiviti pemulihan negara secara berterusan dapat dicapai dan aliran pasaran buruh yang semakin bertambah baik.
Bagi ekonomi Malaysia, petunjuk terkini memaparkan pertumbuhan negara berada pada kedudukan yang lebih kukuh, didorong oleh pengukuhan permintaan dalam negeri dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan. Pasaran buruh terus meningkat tatkala kadar pengangguran menjadi lebih rendah, ini secara langsung membawa kepada penyertaan buruh yang lebih tinggi dan prospek pendapatan negara yang lebih baik.
Namun, risiko terhadap pertumbuhan kekal wujud – ini merangkumi isu pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meningkat, serta isu gangguan rantaian bekalan. Setakat ini, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka berada pada paras julat ramalan sekitar 2.0% – 3.0% untuk tahun 2022.
Untuk makluman, negara telah menetapkan paras 1.75%, sejak Julai 2020 lagi. Kini peningkatan OPR disasar akan terus berlaku oleh BNM berdasarkan situasi pasaran semasa. Berdasarkan kenaikan OPR, ini kenaikan ketiga yang telah dilaksanakan BNM sejak Januari 2022.