Artikel

Pembayaran Gaji Tidak Lagi Dihadkan Melalui Bank, Kini Diperluas Ke Institusi Kewangan Lain

Majikan kelak tidak lagi perlu berpaut kepada institusi bank sahaja dalam urusan pembayaran gaji kepada para pekerja.

Ini kerana berdasarkan kelulusan pindaan Akta Kerja (Akta 265) bersama Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Pembangunan Kewangan 2002 pada akhir Mac lalu – telah memperlihatkan kemasukan baharu subsekyen 25(4) ke dalam Akta 265, memberi kuasa kepada Menteri Sumber Manusia (KSM) untuk iktiraf penyedia instrumen pembayaran tetap yang diluluskan bagi urusan pembayaran gaji.

Ini bermakna memudahkan pemantauan pembayaran gaji pekerja dapat dilakukan. Pada masa yang sama, langkah ini juga selari dengan perkembangan dunia kewangan pada hari ini yang meliputi penawaran seperti dompet digital, institusi pelaburan robo, dan bursa dagangan aset digital seperti kriptowang.

Perkara tersebut di akui KSM, apabila melihat pindaan ini selari dengan peralihan sistem perbankan yang kini menggalakkan komuniti nirtunai (cashless society) dalam kalangan masyarakat negara. Adanya institusi kewangan lain yang diiktiraf, situasi ini tidak hanya memudahkan transaki gaji pekerja tetapi turut merancakkan landskap kewangan negara.