Artikel

TNG RFID: Pengguna Kini Boleh Isi Minyak Secara Mudah Di 88 Stesen Shell Terpilih

Touch ‘n Go, pada hari ini (10 Ogos) secara rasminya menawarkan pengalaman nirtunai baharu kepada para pengguna kenderaan – di mana anda kini boleh membayar pengisian minyak dengan imbasan RFID sahaja.

Kesepakatan bersama Shell ini bererti bagi setiap pengisian minyak di 88 stesen terpilih – pembayaran akan ditolak secara automatik daripada TNG eWallet pengguna.

Bermakna tiada sebarang penggunaan kad mahupun pembayaran di kaunter fizikal diperlukan – hanya menggunakan TNG eWallet dan RFID pada kenderaan anda. Lebih menarik kemudahan ini turut membawa pulangan mata ganjaran BonusLink bagi setiap pengisian minyak.

Dari aspek kerjasama pula, pada sidang media sebentar tadi – TNG telah menegaskan kemudahan tersebut hanya tersedia bersama Shell sahaja dan pihaknya menjangkakan pertambahan 200 stesen dengan kemudahan ini dapat dicapai menjelang Disember kelak.

Setakat ini TNG RFID mencatatkan terdapat lebih 1.9 juta pengguna di Malaysia.