Artikel

19 Mei 1990 – Tun Dr Siti Hasmah Perluas Kempen Peluang Pekerjaan Buat Warga OKU

Tanggal 19 Mei 1990 telah memperlihatkan berlakunya satu peristiwa penting buat negara – apabila warga Orang Kelainan Upaya mula mendapat perhatian pasaran buruh Malaysia. Di mana perluasan peluang pekerjaan untuk mereka di dalam sektor swasta telah mula dilaksanakan.

Detik bersejarah kempen peluang pekerjaan ini telah dilaksanakan oleh Datin Seri Dr. Siti Hasmah (kini dikenali sebagai Tun Dr. Siti Hasmah) sambil menerima sokongan Kementerian Sumber Manusia iaitu Menterinya Datuk Lim Ah Lek.

Melalui perluasan kempen pada ketika itu, KSM berjaya menawarkan sekitar 1,000 peluang pekerjaan kepada warga OKU dalam sektor perkilangan Semenanjung Malaysia. Bagi yang tidak tahu, dalam tempoh tersebut seramai 165,000 warga OKU telah dicatatkan Malaysia. Dan 89,000 daripadanya adalah mereka yang berusia sekitar 15 tahun sehingga 55 tahun.

Apa yang memilukan, dapatan awal sebelum kempen itu dilaksanakan hanya 618 orang kumpulan OKU sahaja telah diambil bekerja dalam pasaran buruh swasta Malaysia. Maka ketidakseimbangan ini secara jelas menunjukkan berlakunya penindasan dalam pasaran buruh negara.

Dr Siti Hasmah pada ketika itu juga turut menyatakan hasrat beliau, agar peluang pekerjaan buat warga OKU diperluaskan dalam sistem berkuota, seperti mana yang dilaksanakan oleh sektor awam pada tahun tersebut. Usaha itu dilihat berupaya menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan yang dianggarkan sekitar 27,000 kepada kumpulan OKU.

Dengan usaha ini secara langsung kita dapat lihat Malaysia dari dulu lagi sememangnya ingin menambahbaik taraf kehidupan golongan OKU. Untuk makluman semua, sehingga kini tahun 2022, kerajaan telah berjaya menempatkan hampir 11,000 pekerja di pelbagai kementerian dan GLC, dengan 90 peratus daripadanya ditempatkan dalam sektor awam.