Dikala negara bakal berdepan kenaikan harga bekalan makanan serta barangan keperluan sehingga 15% kelak – ternyata kumpulan pengusaha restoran mamak di Malaysia memiliki pandangan berbeza. Apabila bersepakat untuk tidak menaikkan harga juadah dan mengekalkan harga pada paras sama.
Itulah yang telah dilaksanakan oleh Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma), apabila memaklumkan lebih 9,000 restoran mamak di seluruh negara tidak akan menaikkan harga makanan serta minuman mereka.
Tindakan ini mengambilkira aspek kenaikan kos yang sedang didepani rakyat Malaysia. Adanya pengekalan harga juadah, ia secara langsung membantu masyarakat menyeimbang aliran perbelanjaan mereka.
Mengikut laporan juga, tindakan menaikkan harga juadah akan menjadi pilihan terakhir para pengusaha restoran mamak – sekiranya situasi benar-benar menghimpit perbelanjaan kos operasi mereka.
Pihaknya mengakui terbeban akan kenaikan kos bahan mentah yang sedang berlaku, meskipun langkah ini tidak menguntungkan pihak mereka namun ia juga tidak mendatangkan kerugian buat operasi mereka dengan sokongan para pelanggan.
Bagi pengusaha restoran mamak – situasi yang lebih meruncing ketika ini bukanlah soal menaikkan harga juadah mahupun penawaran gaji di paras RM1,500 tetapi ketirisan tenaga kerja secara tidak langsung memberi kesan pada produktiviti mereka yang sepatutnya beroperasi selama 24 jam sehari.