Artikel

BNM Masih Menilai Potensi Keperluan Mata Wang Digital Ringgit

Bank Negara Malaysia (BNM), ketika ini sedang menilai secara aktif berhubung penggunaan mata wang digital bank pusat (CBDC).

Kenyataan itu dikongsikan menerusi emel bersama Bloomberg, di mana Malaysia kini sedang menyemak potensi yang wujud pada penerapan CBDC.

Buat pengetahuan umum, CBDC ialah instrumen pembayaran digital yang dikeluarkan oleh bank pusat dan penggunaan secara global melibatkan bank pusat di seluruh dunia.

Meskipun masih tidak memiliki sebarang keputusan berhubung pengeluaran CBDC, BNM terus memberi tumpuan pada penyelidikan mereka terhadap kepenggunaannya secara dasar dan teknikal. Tindakan sedemikian adalah langkah persediaan negara, jika terdapat keperluan menerbitkan CBDC Ringgit.

Buat pengetahuan umum, ini bukanlah langkah awal yang diatur oleh Malaysia bagi penerapan CBDC. Sebelum ini, negara telah sertai Project Dunbar iaitu sebuah kesepakatan bersama Reserve Bank of Australia, Monetary Authority of Singapore dan South African Reserve Bank – untuk membangunkan prototaip platform CBDC, memahami perkongsian infrastruktur lebih baik.

Seterusnya selain Malaysia, antara negara lain yang memperlihatkan pemerkasaan CBDC ketara adalah China (e-Yuan), Jepun (digital yen) dan Rusia (e-Ruble).