Artikel

Ini Sidang Perniagaan Antarabangsa Terbesar Dijalankan Malaysia – Sejak Berdepan Sekatan COVID-19

Selangor International Business Summit (SIBS) 2021, adalah sidang kemuncak perniagaan antarabangsa Selangor yang telah mula dilaksanakan pada 18 November sehingga 21 November – minggu ini.

Pelaksanaan acara di Kuala Lumpur Convention Centre ini menjadikan ia sebagai acara perniagaan fizikal terbesar yang pernah dilaksanakan oleh penganjur tempatan, sejak berdepan sekatan COVID-19. Lebih menarik, acara ini memperlihatkan penerapan format secara hibrid.

Di mana selain menganjurkan secara fizikal, orang awam dan pemain industri turut boleh menyertainya secara atas talian pada pautan www.selangorbusinesshub.my, di mana sekitar 800 gerai secara maya turut tersedia untuk tatapan awam acara.

Buat pengetahuan umum, tahun 2020 ia telah dilaksanakan secara maya bagi keseluruhan susulan pandemik COVID-19.

Pada penyertaan acara fizikal, kini memperlihatkan penggunaan kod QR bagi pendaftaran untuk sesi kemasukan pada acara. Ini bermakna peserta yang terlibat tidak memerlukan sebarang persentuhan fizikal dan kekal mengikut aturan SOP. Sekirar 500 gerai fizikal tersedia pada kapasiti 13,339 meter persegi acara.

Ketika menyertai sidang juga, peserta sebelum memasuki mana-mana pintu dewan sidang – boleh melihat paparan skrin pada pintu masuk, akan bilangan peserta yang hadir di dalam dewan. Ia secara langsung memberi makluman kehadiran semasa kepada setiap pengunjung yang hadir.

Maka orang awam tidak perlu khuatir akan kapasiti dan pemantauan kehadiran para peserta sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa – bagi kemasukan dan ketika keluar daripada dewan acara.

Untuk makluman, sidang ini menampilkan 6 tumpuan utama, antara segmen baharu yang diperlihatkan adalah Ekspo Antarabangsa Selangor (Medic) ke-7 dan Ekspo Taman Perindustrian Selangor yang pertama, atau dikenali sebagai Sparks.

Pelaksanaan SIBS 2021 ini akan menjadi tumpuan penting kepada pembangunan ekonomi Malaysia untuk mengembalikan pulangan hasil susulan kesan COVID-19 sebelum ini.

Setakat ini Selangor terus mengungguli kedudukan destinasi pelaburan terbaik dalam negara apabila merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM38.7 bilion.

Berdasarkan jumlah tersebut, sekitar RM18.4 bilion adalah daripada sektor pembuatan dengan 324 projek pembuatan diluluskan. Selangor juga terus mengekalkan kedudukan teratasnya pada 2020, dengan melepasi pencapaian 2019 perolehan pelaburan yang diluluskan dalam projek pembuatan bernilai RM17 bilion.

Melalui sidang ini ia seiring dengan matlamat negara untuk membuka peluang kepada perniagaan domestik meneroka potensi baharu pada pasaran Asean.