Artikel

Laporan: Pelaksanaan 5G Malaysia Berpotensi Cetus Risiko Pasaran

Sejak akhir Februari lalu, apabila kerajaan mula menetapkan pengedaran spektrum teknologi 5G – hanya dapat dilaksanakan melalui Syarikat Bertujuan Khas (SPV) di bawah pemilikan Kementerian Kewangan (MOF), secara berpusat.

Ini telah menimbulkan beberapa kebimbangan pada panel pasaran. Antaranya risiko pasaran dan kerugian perbelanjaan modal yang perlu didepani.

Berdasarkan laporan Reuters, terdapat sumber menjangkakan perancangan rangkaian 5G boleh mengakibatkan kesan kerugian pada nilai pasaran sehingga mencecah RM45 bilion (AS$10.8 bilion).

Kekurangan sokongan pengendali industri pada inisiatif tersebut, telah mengundang kebimbangan segelintir ahli korporat yang memiliki pegangan pada pelaburan.

Melalui laporan juga diperincikan, setakat ini kerjasama pengendali dalam agenda 5G negara masih dalam perbincangan. Ia membabitkan isu ketelusan dan penetapan pelan harga.

Kedua elemen ini membawa cerminan kepada kualiti rangkaian.

Bagaimanapun Digital Nasional Berhad (DNB) masih optimis apabila Ketua Pegawai Operasinya – Dushyan Vaithiyanathan menyatakan pelan ini berkemungkinan hanya menelan belanja sekitar RM16.5 bilion, berbanding anggaran sehingga RM35 bilion.

Meskipun mengakui terdapat persoalan berhubung ketelusan, pihaknya kini sedang meneliti garis panduan bersama pengawal selia dan kekal menyasarkan pengenalan 5G negara akan diterapkan pada Disember tahun ini, 2021.