Artikel

Mastercard Menamatkan Penawaran Kad Dengan Jalur Magnetik Bermula 2024

Jika sebelum ini, Samsung dan Mastercard ingin menerapkan sistem boimetri pada penghasilan kad kredit dengan pengimbas cap jari.

Kini, pada kenyataan minggu lalu – Mastercard mulai memberi gambaran awal untuk tidak lagi menggunakan jalur magnet pada kad pembayaran mereka. Ini bermakna, mulai tahun 2024 tiada lagi penggunaan peluncuran (swipe) kad kredit mahupun kad debit ketika pengguna melakukan pembayaran.

Malah dijangka, penamatan pengeluaran kad tersebut akan berlaku secara menyeluruh pada tahun 2029.

Perubahan tersebut meliputi peralihan tingkahlaku yang diperlihatkan oleh para pengguna – suku pertama tahun 2021, Mastercard menyaksikan lebih 1 bilion lebih transaksi nirtunai direkodkan berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2020. Sementara suku kedua pula, mencatatkan 45% transaski nirtunai dicatatkan berlaku di seluruh dunia.

Ia membawa erti, pengguna semakin bersedia untuk bereksperimen dengan pilihan pembayaran baru khususnya orang muda – generasi milenium.

Berdasarkan petunjuk tinjauan Indeks Pembayaran Baharu, generasi ini antara kumpulan umur sentiasa bersedia akan percubaan kaedah transaksi baharu. Antaranya pembayaran melalui jam tangan pintar, nirtunai-tanpa tunai menggunakan mesej dan kripto (40%), sistem biometri (41%) serta penerapan pilihan nirsentuh-tanpa sentuhan (68%) secara meluas.

Perluasan ini, juga dijangka turut dapat diterima oleh kumpulan yang berusia 57 tahun hingga 75 tahun. Ini kerana 34% pengguna dalam kalangan usia itu telah menggunakan transaksi nirtunai sejak tahun lalu, 2020. Ia bermakna, pendedahan penggunaan bayaran sedemikian tidak lagi asing buat warga emas.

Menerusi pendekatan dan gambaran awal ini – Mastercard melihat peralihan cara pengguna berinteraksi turut mempengaruhi kaedah pembayaran kewangan dunia, ia perlu lebih selamat dan lebih tinggi penerapan teknologinya.