Penerapan sekatan sejak 1 Jun lalu, telah memberi kesan kepada industri automotif negara – kenyataan ini merangkumi rekod jualan kenderaan bagi Julai, yang sekadar mencatatkan 7,086 jualan unit kenderaan.
Jualan itu merangkumi 4,949 unit kenderaan penumpang dan 2,137 unit kenderaan komersial.
Data ini, jauh lebih rendah berbanding Julai 2020 yang mencatatkan 58,878 unit kenderaan. Tidak hanya itu penghasilan unit kenderaan pada Julai juga rendah – sekadar 2,775 unit sahaja berbanding Julai 2020, 47,630 unit dikeluarkan.
Walaupun rekod itu lebih baik berbanding Jun lalu (1,921 unit) namun prestasi ini menunjukkan risiko industri masih tinggi. Perkara ini turut diperlihat pada jumlah pendaftaran kenderaan atas talian yang semakin rendah.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan, sebahagian jualan bagi Julai adalah hasil sumbangan negeri Sabah dan Sarawak. Ini susulan kebenaran operasi di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada operasi pameran pusat kenderaan.
Maka, MAA menyasarkan peningkatan bagi prestasi jualan Ogos akan berlaku, berikutan kebenaran operasi bilik pameran telah diperluaskan di seluruh negeri. Khususnya pada pasaran utama di Selangor dan Kuala Lumpur. Sasaran ini akan melonjakkan semula data jualan pada laporan suku tahunan kelak.