Krisis kesihatan pada masa ini telah menimbulkan kesan yang mendalam pada pertumbuhan ekonomi, politik dan sosial di seluruh dunia. Ini bermakna, para peniaga juga tidak lari dari mengalami risiko yang sama.
Menyedari situasi getir ini, pelbagai sokongan khidmat wajar diterapkan pada operasi mereka. Antaranya adalah penawaran segmen “Beli Sekarang Bayar Kemudian” (BNPL) kepada pelanggan.
Berdasarkan data perkongsian Atome, iaitu penyedia khidmat BNPL. Pengenalan tawaran ini di Malaysia sejak suku keempat 2020, telah menyaksikan jumlah permintaan jualan meningkat 100 kali ganda. Sementara permintaan pada rangkaian e-dagang pula meningkat 5 kali ganda dalam tempoh 6 bulan terakhir.
Pemerhatian menunjukkan, pandemik COVID-19 nyata telah mengubah tingkahlaku pembeli – susulan cara pembelian lebih berhati-hati dan teratur, pengguna berpendapat kaedah BNPL antara yang bersesuaian dengan pemilikan wang tunai semasa mereka.
Untuk makluman, Mac lalu – penjualan peruncitan Malaysia mengalami prestasi terburuk dengan penurunan 16.3%. Segmen kedai serbaneka dan fesyen menunjukkan penurunan 38.3% dan 37.9%. Menerusi penawaran BNPL ini akan membantu meningkatkan aliran jualan di pasaran.
Berdasarkan penggunaan di bawah platform Atome – peningkatan jualan diperlihatkan pada 6 bulan terakhir, di mana peniaga telah mengalami peningkatan jualan sekitar 17%. Langkah sokongan ini, dilihat berpotensi membantu peniaga mengekal kestabilan perolehan mereka.
Meskipun pasaran BNPL negara masih diperingkat awal namun FIS-Worldpay menjangkakan pada Laporan Pembayaran Global, dinamik perkhidmatan BNPL Malaysia akan mula meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2024 kelak.
Peningkatan itu, bagi penulis haruslah diselangi dengan pengetahuan pengurusan kewangan. Peniaga dan pengguna perlu sedar akan risiko caj faedah dan caj tersembunyi, sekiranya berlaku kelewatan dalam pembayaran BNPL. Peringatan ini bertujuan memastikan perolehan keuntungan haruslah bersifat menang-menang, antara pengguna, peniaga, dan penyedia khidmat.