Artikel

Program 3FR – FGV Manfaat Amalan Pertanian Pintar, Tingkatkan Hasil Beras Wangi Negara

Pemerkasaan teknologi tidak hanya tertumpu kepada sektor kewangan mahupun pembuatan, bahkan sektor pertanian juga dapat menikmati manfaat yang sama dari aspek – meningkatkan kapasiti pengeluaran dan keupayaan tenaga, perladangan.

Perkara ini dapat diperlihat menerusi usaha FGV Integrated Farming Holdings (FGVIF) pada pengenalan program Beras Wangi Fortified Field (3FR) untuk penanaman padi wangi.

Terdapat beberapa komponen teknologi yang diterapkan di bawah 3FR ini iaitu peranti berhubung (IoT), amalan pertanian pintar, penggunaan dron, pemantauan nutrisi tanaman serta penyelidikan berkala.

Wujudnya inisiatif ini, ia merancakkan lagi daya pengeluaran dan meningkatkan kualiti hasil beras wangi tempatan. Setakat ini, kaedah tersebut berjaya meningkatkan pengeluaran kepada 7 tan hektar.

Lebih menarik, penyertaan teknologi turut memberi tambah-nilai pada pendapatan pesawah padi sehingga RM13,300 sehektar, berbanding sebelum ini pulangan RM6,240 sehektar.

Selain itu, FGV turut mensasarkan untuk memperluas penggunaan IoT dengan mengembangkan teknologi rantaian-blok untuk pengeluaran makanan pertanian, yang dapat mempermudahkan akses kepada data rantaian bekalan dari petani, serta pihak kepentingan dan pengguna rantaian lain. Ini akan meningkatkan daya pengesanan pengeluaran makanan.

Program 3FR FGV juga turut menyokong Program Sawah Pintar Berskala Besar (Smart SBB) yang dimulakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada bulan Februari 2021 lalu. Pada masa ini, ia dilaksanakan di ladang seluas 310 hektar di IADA Seberang Perak dan IADA Barat Laut di Selangor, bersama dengan lebih daripada 100 petani kontrak tempatan yang dilantik.

Luas kawasan tersebut dijangka meningkat kepada 600 hektar menjelang musim menuai pada akhir bulan Julai 2021, dengan rancangan untuk berkembang menjadi 1,500 hektar dalam tiga tahun ke hadapan.