Kehadiran pandemik telah menyebabkan ketidaktentuan ekonomi berlaku – ini secara langsung memberi kesan kepada institusi pendidikan swasta bagi kemasukan pelajar baharu.
Maka bagi mengamit kembali keyakinan golongan muda – tindakan pemotongan yuran sekitar 20% telah dilakukan. Berdasarkan laporan The Malaysian Reserve Persatuan Institusi-Institusi Pendidikan Swasta Malaysia (NAPEI) – langkah tersebut turut memberi kesan kepada pengurangan nilai upah dan tenaga kakitangan institusi pendidikan swasta.
Untuk makluman, tahun lalu sekitar 60 institusi pendidikan tinggi swasta telah ditutup. Dan angka ini dijangka terus meningkat disebabkan fasa pemulihan PPN.
Selain itu, apa yang lebih membimbangkan adalah pendidikan berteraskan latihan dan kemahiran iaitu TVET telah mengalami kerugian yang tinggi. Susulan pelaksanaan PdPR, ia telah memberi kesan kepada penawaran pendidikan ini. Sehingga kini lebih RM160 juta kerugian pendapatan yang terpaksa ditanggung oleh sektor. Sekiranya situasi ini berterusan, ia akan memmpengaruhi lebih 10,000 pelajar dan tenaga pelajar yang terlibat. Ini akan mengundang kesan yang lebih besar kepada ekonomi negara kelak.
Seharusnya pihak kerajaan tampil dengan pakej rangsangan khusus buat pendidikan swasta untuk mengekalkan momentum operasi mereka tanpa mengugat penglibatan para pelajar. Jaminan ini akan membantu ramai pihak meneruskan kelangsungan operasi mereka tanpa meningkatkan kadar pengangguran negara dan mengakibatkan lebih banyak keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar.