Sejak tahun 1996 lagi, penerapan digitalisasi telah mula diusahakan oleh Malaysia untuk memperkasakan penggunaan berasaskan teknologi kepada rakyat negara. Melihat usaha itu, kerajaan kini percaya ekonomi digital mampu menjadi salah satu sentimen pemacu pertumbuhan negara.
Maka sasaran itu telah diumumkan menerusi pelancaran MyDigital & Rangka Tindakan (BLUEPRINT) Ekonomi Digital Malaysia melalui sidang maya hari ini (19 Februari).
Berdasarkan sasaran pada pelancaran ini – ekonomi digital Malaysia dijangka menyumbang sekitar 22.6% pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025. Tanggapan ini jelas menandakan peningkatan yang ketara akan berlaku pada penerapan digitalisasi negara.
Sasaran peningkatan itu merangkumi semua aspek penerapan Kecerdasan Buatan (AI), pembangunan ICT negara beserta penguasaan teknologi sokongan lain.
Sidang yang turut dilancarkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ini turut menyatakan pelaksanaan tindakan ekonomi digital dapat membangunkan peluang pekerjaan dan produktiviti yang lebih besar kepada rakyat negara.
Di mana 30% peningkatan produktiviti dalam semua sektor negara disasarkan berlaku menjelang 2030, seiring penetapan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). Ini turut meliputi sokongan pelaburan digitalisasi sekitar RM70 bilion dan sasaran kemasukan PKS pada platform e-dagang sekitar 875,000 perusahaan menjelang 2025 kelak.
Keyakinan kerajaan pada penggunaan e-dagang Malaysia telah didorong oleh peningkatan nilai pasaran e-dagang pada tahun 2019 yang mencatatkan jumlah RM16 bilion. Data itu jelas menunjukkan perniagaan negara sedia mereliasasikan penggunaan operasi secara atas talian sebagai pilihan utama.