Artikel

Aliran Kemasukan Pelaburan Langsung Asing FDI Malaysia Menurun 68% – Sekadar AS$2.5 Bilion Pada Tahun 2020

Semua pertumbuhan ekonomi negara sudah pasti mengalami kesan yang tinggi disebabkan pandemik COVID-19. Ini termasuklah kesan secara langsung ke atas kemasukan aliran pelaburan asing (FDI) ke sesebuah negara. FDI Malaysia ketika ini mencatatkan penurunan yang tinggi, sebanyak 68% iaitu sekadar AS$2.5 bilion (RM10.1 bilion) pada tahun 2020.

Laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) ini jelas mengejutkan semua pihak. FDI Asia Tenggara dicatatkan mengalami penurunan 31%.

Catatan FDI negara ternyata jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara membangun yang lain menurun pada kadar 12% sahaja. Manakala negara maju pula memaparkan penurunan sekitar 69%, dan purata penurunan FDI dunia adalah pada paras 42%.

Ini kerana semua negara sedang mengalami kesan yang sama disebabkan pandemik COVID-19, tetapi mengapa FDI Malaysia memaparkan penurunan secara mendadak.

Untuk makluman, antara negara yang mengatasi jangkauan adalah Filipina, memaparkan peningkatan FDI sekitar 29% iaitu meningkat kepada AS$6.4 bilion (RM25.8 bilion). Begitu juga Thailand pelaburnya memperolehi jualan Tesco pada nilai AS$9.9 bilion dari United Kingdom.

Sementara itu, negara lain yang turut memaparkan penurunan namun dilihat masih memadai peratusannya adalah Singapura turun 37% kepada AS$58 bilion (RM234.5 bilion), Indonesia turun 24% kepada AS$18 bilion (RM72.9 bilion) dan Vietnam turun 10% dengan kemasukan AS$14 bilion (RM56.6 bilion).


Melihat situasi ini, sudah pasti tekanan yang tinggi akan tertumpu kepada pentadbiran negara. Kejatuhan aliran FDI pada 68% bukanlah suatu petanda yang baik buat pertumbuhan ekonomi Malaysia. Seharusnya negara memberi tumpuan dalam membangunkan pelaburan asing pada sektor teknologi, inovasi dan kesihatan.

Untuk makluman kadar FDI negara pada 2019 telah meningkat kepada RM31.7 bilion, dan ia didorong oleh suntikan pelaburan dari Jepun pada pembangunan sektor kesihatan negara. Negara seharusnya bijak mengetengahkan skop pelaburan berdasarkan keperluan masyarakat. Jika kita terus bersaing tanpa mengambilkira permintaan pasaran yang relevan, ini sekadar merugikan pertumbuhan pelaburan asing Malaysia.