Artikel

Penerbangan Domestik AirAsia Kekal Beroperasi, Namun Penumpang Perlu Dapatkan Surat Pengesahan Dari Polis

Penerbangan domestik AirAsia akan tetap beroperasi seperti biasa.

Ini bermakna syarikat tambang murah itu masih terus menjalankan perkhidmatan mereka sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat.

Bagaimanapun, bagi sektor ekonomi penting – para penumpang yang terlibat memerlukan surat kelulusan dari pihak polis sebelum berangkat pada perjalanan udara tersebut. Malah para penumpang juga turut ditegaskan untuk mematuhi segala syarat perjalanan.

Bagi pengguna yang terkesan dan bercadang untuk menangguhkan perjalanan mereka bagi tarikh 13 Januari sehingga 26 Januari ini boleh membatalkan penerbangan mereka secara sukarela atau memilih meminda tarikh penerbangan tersebut ke suatu tarikh yang baru.

Pindaan tarikh penerbangan baru itu boleh dilakukan sebelum 31 Mac ini – AirAsia memberi jaminan tiada sebarang kos tambahan akan dikenakan, namun perubahan tarikh adalah bergantung kepada ketersediaan tempat duduk pada tarikh yang terlibat sahaja.

Sementara itu, AirAsia turut memaklumkan segala pembatalan penerbangan ketika PKP ini akan diberitahu oleh pihak pengurusan menerusi emel atau pesanan ringkas (SMS) kepada para penumpang.