Artikel

Goldman Sachs Malaysia Mengaku Bersalah, Bersekongkol Langgar Undang-Undang AS – 1MDB

Goldman Sachs Malaysia kini membuat pengakuan bersalah ke atas pertuduhannya membabitkan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengakuan tersebut melibatkan konspirasi rasuah dana yang dikumpulkan bagi pelaksanaan pembangunan ekonomi di Malaysia.

FBI Amerika Syarikat mengesahkan denda hampir AS$3 bilion (RM12 bilion) akan dikenakan terhadap Goldman Sachs.

Mahkamah Brooklyn New York bagaimanapun mengatakan syarikat induk terbabit tidak akan disabitkan dalam kesalahan tersebut, ia hanya merangkumi cawangan Goldman Sachs Malaysia sahaja.

Goldman telah bersetuju untuk membayar sekitar RM11.6 bilion (AS$2.8 bilion) kepada Jabatan Kehakiman A.S. dan pengawal selia global yang lain untuk menyelesaikan pertuduhan 1MDB. Jumlah itu dilihat melebihi RM10.3 bilion (AS$2.5 bilion) yang dipersetujui pada bulan Julai untuk membayar kerajaan Malaysia. Denda itu dianggarkan berjumlah kira-kira lapan bulan keuntungan bagi firma Wall Street.

Menurut pendakwa raya, Alixandra Smith – sabitan ini akan menjadi hukuman terbesar dalam sejarah AS, kerana melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing.

Kegiatan itu berlaku pada tahun 2009 hingga 2014 – di mana unit Malaysia sengaja bersetuju melanggar perundangan rasuah dengan pelaksanaan pecah amanah dan membayar wang rasuah kepada pegawai asing bagi mempertahankan operasi Goldman Sachs.

Goldman Sachs seharusnya memainkan peranan dalam pengumpulan dana RM26.9 bilion (AS$6.5 bilion) untuk 1MDB, namun sebahagian besar dana tersebut telah disalahgunakan oleh orang tertentu untuk kemewahan keperibadian mereka. Pembelian seperti barangan mewah, kapal layar, serta pelaburan pada filem Hollywood.