Artikel

WHO Sahkan Penyertaan 184 Negara Pada COVAX, Pelan Bekalan Vaksin COVID-19

Sebelum ini, Malaysia telah menunjukkan minat untuk sertai COVAX – COVID-19 Vaccine Global Access pada 19 September lalu. Kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesahkan penglibatan sebanyak 184 negara dan ekonomi pada platform tersebut.

Gabungan ini bagi memastikan akses bekalan global vaksin COVID-19 dapat dipelopori seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media maya mengatakan COVAX akan menjadi medium terbesar dalam pengujian dan pengagihan vaksin di peringkat dunia.

Ia tidak hanya tertumpu kepada pemulihan krisis kesihatan sahaja, tetapi turut membantu melindungi masyarakat disamping membantu ekonomi setiap negara yang terlibat.

Malaysia pada 13 Oktober lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan negara telah melabur sekitar RM40 juta pada penyertaan awal COVAX.

Meskipun nilai penglibatan itu tinggi, namun penyertaan negara pada platform ini adalah penting bagi jaminan negara dalam memperolehi bekalan vaksin untuk kepentingan bersama.

Antara negara lain yang turut dikatakan terlibat adalah China, Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, New Zealand, Kanada, dan United Kingdom.