Sektor hartanah Malaysia kini menjangkakan pemulihan pasaran pada 2021 dan 2022.
Kenyataan hasil tinjauan Laporan Survei Hartanah dan Indeks Suku Ketiga 2020 Juwai IQI ini memperlihatkan pertumbuhan pasaran mulai menunjukkan pemulihan secara perlahan – perkara ini disasarkan berterusan sehingga tahun 2021 dan 2022.
Bagaimanapun pada laporan tersebut, bagi segmen Indeks Jangkaan Harga Nasional – harga pasaran hartanah dijangka menurun sehingga 4.8% bagi tempoh 12 bulan ke hadapan.
Faktor ini didorong atas ketidaktentuan situasi ekonomi global dan krisis pandemik. Harga kediaman kini dijangka merudum secara menyeluruh dan di setiap negeri.
Antara negeri yang bakal mempamerkan kedudukan yang baik pada petumbuhan dua tahun akan datang adalah Pulau Pinang dan Perak – dengan harga pertumbuhan masing-masing 15.9% dan 14.3%.
Sementara itu, Selangor dan Kuala Lumpur antara negeri yang dijangka mempamerkan pertumbuhan rendah bagi pertumbuhan dua tahun akan datang dengan sasaran 8.5%.
Seterusnya, kadar permintaan sewaan kediaman dilihat akan terus meningkat. Ini kerana, sesetengah negeri cenderung memilih menyewa berbanding pembelian hartanah. Misalnya negeri Perak dijangka kadar permintaan sewa meningkat sehingga 16.7% pada pertumbuhan dua tahun akan datang.