Detik sejarah kita kali ini adalah bercerita tentang Pembukaan Menara Kuala Lumpur pada tanggal 2 Oktober 1996.
Asalnya pelancaran tersebut telah dirasmikan pada malam 1 Oktober 1996, namun pembukaan tersebut telah dilaporkan pada 2 Oktober.
Apa yang menarik tentang sejarah pembinaan Menara Kuala Lumpur ini adalah ia telah dilaksanakan pada 3 fasa.
Iaitu fasa pertama telah mula dijalankan pada Oktober 1991 sehingga 15 Oktober 1992. Manakala fasa kedua pula telah dilakukan pada 12 Julai 1992 sehingga April 1993 dengan menumpukan kepada pembinaan tapak menara dan bahagian paras bawah tanah.
Seterusnya pada fasa ketiga pembinaan secara menyeluruh telah diteruskan, dan keseluruhan pembangunan menara tersebut telah siap dibina pada tahun 1996.
Malah pelan rekaan luar pembinaan menara ini adalah air tangan anak syarikat tempatan negara iaitu Kumpulan Senireka Sdn Bhd – di mana rekaan tersebut dipengaruhi seni bina Islam, Jerman, Perancis dan seni tempatan.
Sementara itu, rekaan dalaman pula dipengaruhi idea seni bina Islam yang bercirikan gaya Muqarnas dan Esfahan, Iran. Ciri ini memberi tumpuan kepada penetapan kubah kaca.
Secara keseluruhannya pembinaan Menara Kuala Lumpur pada ketika itu telah menjadikan ia sebagai menara tertinggi di Asia dan menara ketiga yang tertinggi di dunia.
Ini secara tidak langsung menjadi mercu kebanggaan negara Malaysia sehingga Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan pembinaan menara tersebut sebagai menara tercantik di Malaysia.
Fakta lain yang wajar diketahui umum juga adalah, Menara Kuala Lumpur lebih tinggi berbanding Menara Berkembar Petronas dengan mencatatkan paras puncak 94m dari aras laut.
Sehingga kini, Menara Kuala Lumpur kekal gah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sebagai simbolik kepada pembudayaan negara kita. Pembinaannya bukan sekadar mencuri tumpuan dunia, namun turut membuka peluang pelaburan negara menjadi semakin meningkat.