Bercerita tentang sejarah kali ini, ia adalah hasil ilham daripada Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman – di mana tercetusnya penubuhan sebuah Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) pada tanggal 19 September 1972.
Menerusi penubuhan PUSPATI ini Malaysia memainkan peranan yang penting dalam membangunkan sektor sains dan teknologi nuklear.
Namun penggunaan pembangunan tersebut haruslah bersifat selamat.
Untuk makluman, agenda dalam melaksanakan pusat penyelidikan ini telah terbentuk sejak 11 November 1971 lagi, ketika itu ia dikenali sebagai Pusat Penyelidikan dan Aplikasi Tenaga Nuklear (CRANE).
Setelah usul penubuhan diluluskan oleh jemaah menteri – penubuhan PUSPATI ini telah diiktiraf sebagai pusat kebangsaan negara.
Tindakan itulah menjadi pencetus kepada permulaan program nuklear di Malaysia yang mula menumpukan kepada pembangunan modal insan bagi program kuasa nuklear.
Idea pembangunan modal insan itu bertujuan menyediakan pilihan pada sumber tenaga berikutan kegawatan krisis minyak dunia pada awal tahun 1970-an telah berlaku.
Pada ketika itu juga, PUSPATI telah ditempatkan dibawah pemantauan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI).
Bagaimanapun beberapa tahun kemudian, PUSPATI telah mula mengalami perubahan dan revolusi dalam memantapkan insitut penyelidikannya.
Memasuki era 1983, PUSPATI telah mengubah nama pusat penyelidikan mereka kepada Unit Tenaga Nuklear (UTN) dan kemudiaanya menukar entiti kepada Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear (MINT) – ini berlaku pada tanggal 10 Ogos 1994.
Setelah itu, bagi meningkatkan lagi visi serta objektif mereka – pada 28 September 2006 ia mula beralih menjadi sebuah entiti yang telah digazet dengan identiti baharu iaitu Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia).
Sehingga kini, Nuklear Malaysia masih lagi kekal berdaya saing dalam mengembangkan serta meluaskan sektor penyelidikan dan pembangunan sains teknologi Malaysia.