Detik sejarah yang perlu kita ingati pada tarikh hari ini adalah peralihan sistem pendidikan negara dari Sekolah Umum kepada Sekolah Kebangsaan telah diisytiharkan pada 2 September 1959.
Pada tarikh keramat itu telah menyaksikan Sekolah Umum Permatang Janggus, Seberang Perai menjadi sekolah pertama yang beralih sebagai Sekolah Kebangsaan negara.
Untuk makluman pendidikan adalah antara elemen benteng pertahanan sesebuah negara. Hasrat Malaysia dalam memperkasakan sistem pendidikan ini sudah lama wujud sejak sebelum merdeka lagi.
Ini kerana selain dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat negara, pendidikan juga turut dapat menyatupadukan rakyat negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama.
Kenyataan ini selari dengan apa yang telah dinyatakan pada Penyata Razak 1956 – bahawa pendidikan mampu menjadi wahana dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat Malaysia.
Tindakan pelaksanaan peralihan nama sekolah itu telah didorong oleh dasar kerajaan terhadap sistem pendidikan negara iaitu ingin mewujudkan sekolah kebangsaan pada peringkat rendah.
Malah, dengan tertubuhnya pembentukan sekolah aliran perdana ini – ia mampu menutup jurang pendidikan serta meningkatkan martabat negara pada ketika itu.
Kini, sekolah kebangsaan memiliki dua peringkat pendidikan iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (7,780) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (2,440).