Artikel

Thailand Akan Lancar Mata Wang Digital, Negara Kedua Di Rantau Ini Selepas Singapura

Bank of Thailand (BOT) akan melancarkan matawang digital.

BOT akan melakukan ini melalui pembikinan sebuah sistem pembayaran prototaip menggunakan Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC).

Ini adalah hasil dari apa yang bank pusat Thailand itu telah pelajari, melalui sebuah projek yang dilancarkan sebelum ini, iaitu Project Inthanon.

Skop projek ini akan merangkumi kajian dan mengembangkan proses yang menggabungkan CBDC dengan platform perniagaan yang inovatif, kata bank pusat itu pada Khamis (18 Jun).

Prototaip CBDC pada mulanya akan disatukan dengan sistem perolehan dan pengurusan kewangan Siam Cement Public Company Limited dan pembekalnya.

Sistem ini akan dibangunkan oleh Digital Ventures Co Ltd.

“Ini seperti menggunakan mata wang baht tetapi dalam bentuk digital,” kata penolong gabenor BOT Chantavarn Sucharitakul.

Dengan menggunakan mata wang digital ini, Siam Cement dapat mengintegrasikan kontrak pintar semasa syarikat ini membuat perjanjian perniagaan dengan pembekal mereka.

Projek ini akan bermula pada bulan Julai dan akan berjalan hingga akhir tahun, setelah itu BOT akan menerbitkan sebuah laporan tentang hasilnya.

Project Inthanon adalah sebuah kolaborasi antara BOT dengan lapan institusi kewangan di negara itu.

Ia dilancarkan untuk mengkaji dan mengembangkan “bukti konsep” untuk perniagaan domestik menggunakan CBDC.

Sebuah penggabungan telah dicapai dengan Lembaga Kewangan Hong Kong (HKMA).

Langkah seterusnya akan menyaksikan BOT, HKMA dan institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk terus bekerjasama dalam penggunaan CBDC eksperimental bagi kes-kes lain.

Ini adalah mata wang digital kedua yang dilancarkan di rantau ini setelah Monetary Authority of Singapore melancarkan prototaipnya pada November tahun lalu.