Artikel

14% Aset KWSP Disalurkan Kepada Pengurus Dana Luaran Setakat 31 Dis 2019

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan sebanyak RM132.41 bilion telah disalurkan kepada pengurus portfolio luaran setakat 31 Disember 2019.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 12.63 peratus berbanding RM117.56 bilion pada 2018.

Jumlah ini dilaburkan ke dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap, mewakili 14.12 peratus daripada keseluruhan aset pelaburan KWSP.

“Mengambilkira saiz keseluruhan portfolio pelaburan KWSP yang mencecah RM924.75 bilion pada penghujung tahun 2019… kerjasama ini juga adalah sebagai salah satu usaha untuk mempelbagaikan serta meningkatkan prestasi aset kami,” kata Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

Sehubungan itu, bagi mengiktiraf prestasi cemerlang pengurus-pengurus portfolio luaran yang dilantik untuk menguruskan pelbagai mandat pelaburan KWSP, Anugerah Tahunan Pengurus Luaran 2020 telah menyaksikan 20 anugerah diberikan kepada pengurus luaran yang berprestasi tinggi pada tahun 2019.

“KWSP amat menghargai pengurus-pengurus portfolio kami, samada luaran mahupun dalam kalangan anggota KWSP. Fokus dan komitmen mereka ini telah memastikan prestasi baik dana yang diamanahkan kekal mampan.

“Penghargaan khas perlu diberikan kepada pengurus-pengurus portfolio luaran yang cemerlang dan telah menyumbang kepada prestasi kukuh KWSP walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran pada tahun 2019.

“Dalam melaksanakan strategi pelaburan KWSP sepanjang tempoh ketidakpastian pasaran ini, jangkaan masa terdekat perlu diuruskan dengan baik kerana pandemik COVID-19 ini telah mengubah keseluruhan cara dunia beroperasi.

“Walau bagaimanapun, KWSP akan terus berusaha untuk mengekalkan pulangan yang stabil dan konsisten dalam jangka masa panjang, berdasarkan had risiko yang boleh diterima dan pada masa yang sama memelihara dan meningkatkan nilai modal simpanan ahli.

“Kami yakin bahawa pengurus-pengurus portfolio luaran yang dilantik akan membantu kami mencapai objektif ini,” tambah Tan Sri Ahmad Badri lagi.

Bagi tahun kewangan berakhir 2019, KWSP telah mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45% dengan jumlah agihan sebanyak RM41.68 bilion untuk Simpanan Konvensional dan dividen sebanyak 5.00% bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan sebanyak RM4.14 bilion.