Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini telah memperkenalkan Pakej Bantuan kepada 7.5 juta pelanggan kediaman mereka. Pakej ini bagi memudahkan fahaman pelanggan berkenaan bayaran mereka setelah pembukaan bacaan meter beroperasi pada 15 Mei ini.
Pakej tersebut merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar sehingga 30 September dan lanjutan kepada penangguhan pemotongan bekalan sehingga 31 Julai ini.
Ia adalah salah satu inisiatif TNB untuk meringankan bebanan rakyat ketika krisis COVID-19 ini sedang berlaku.
Menurut Presiden, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan – sudah pasti ramai pelanggan mereka akan mula khuatir mengenai kenaikan bil apabila pembacaan meter dilakukan kelak, bagaimanapun TNB mengatakan PBM akan dilakukan secara automatik di mana pelanggan akan menerima bil bulanan mereka secara berperingkat.
Rentetan itu, semua pelanggan akan menerima bil bulanan mereka dan mempunyai pilihan untuk membuat bayaran penuh atau mengikut jumlah bacaan meter yang diberikan oleh PBM.
DS Amir turut mengatakan pakej ini adalah tambahan kepada diskaun berperingkat yang telah ditawarkan oleh TNB pada 1 April hingga 30 September – yang meliputi 2% sehingga 50% potongan.
Setakat ini ia hanya tertakluk kepada negeri-negeri zon hijau iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak (kecuali Sri Manjung) dan Kelantan sahaja. Proses penyerahan bil ini akan dilakukan secara peringkat hingga Disember 2020 kepada semua pelanggan TNB.