Artikel

[KEMASKINI] Lapan Negeri Tangguh Laksana PKPB 4 Mei Ini

Sebanyak lapan negeri telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei ini.

Semalam, Kedah dan Sarawak telah mengumumkan bahawa mereka akan menangguhkan PKPB.

Sarawak menunggu laporan daripada Jawatankuasa bencana negeri itu semalam, sebelum memutuskan samada PKPB wajar dilaksanakan esok.

Manakala Kerajaan Negeri Kedah akan memperhalusi syarat dan garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Hari ini, Sabah, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan juga akan menunda pelaksanaan PKPB di negeri masing-masing.


Kerajaan Pahang memutuskan untuk tidak melaksanakan PKPB, walaubagaimana pun menyokong keputusan kerajaan pusat tersebut namun perlu mengkaji dan memperhalusinya agar sesuai dengan kedudukan semasa penularan wabak pandemik COVID-19 di Pahang.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail, keputusan melaksana PKPB akan dibincang secara lanjut pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri petang Jumaat, 8 Mei 2020.
“Sehingga keputusan dibuat pada mesyuarat mingguan ini, segala ketetapan yang dibuat pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, masih kekal”

Kerajaan Sabah memutuskan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan Kerajaan Pusat.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, susulan keputusan itu, Sabah mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 4 yang akan berakhir pada 12 Mei ini.
“Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik COVID-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus itu.
“Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap 4 yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Negeri Sembilan pula mengambil cara bercampur dalam melaksanakan PKPB di negeri itu.

Hanya sektor ekonomi tertentu boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Negeri Sembilan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik, berkata walaupun kerajaan negeri bersetuju melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat, langkah kawalan ketat masih diperlukan memandangkan kes baharu COVID-19 terus dicatat di Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri Sembilan pada dasarnya bersetuju dengan saranan melonggarkan PKP fasa keempat seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai tatacara kawalan serta pengoperasian sektor yang terbabit dalam PKPB.

“Tetapi kami akan mengambil langkah yang lebih teliti dalam melaksanakan PKPB, seperti tidak menghidangkan makanan kepada pelanggan di premis kedia, seperti contohnya,” kata Datuk Razali.


Di Selangor, tidak semua industri akan dibenarkan beroperasi pada Isnin depan, tegas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Jelasnya, beliau akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan cara penguatkuasaan dan garis panduan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan tidak berlaku peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.


Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow, PKPB tidak boleh dilakukan di negeri itu buat masa ini.

“Berdasarkan pada mesyuarat pagi ini, Pulau Pinang akan melaksanakan strategi berperingkat dalam menangani COVID-19,” kata beliau.

“Esok, 4 Mei, PKP masih berkuatkuasa di Pulau Pinang. Dalam kata lain, hanya syarikat-syarikat yang dibenarkan beroperasi ketika PKP 1, PKP 2, dan PKP 3 masih boleh beroperasi esok, tambah Kon Yeow lagi.


Manakala, Negeri Kelantan pula baru sahaja mengumumkan pihak kerajaan negeri tidak akan mengikuti pelaksanaan PKPB di negeri tersebut.

Menurut kenyataan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Hj Ahmad Yakob – perkara tersebut perlu diperhalusi dan diteliti semula oleh mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan (Khas) negeri pada 7 mei ini. Segala keputusan akan dimaklumkan semula.

Setakat ini, keutamaan negeri adalah keselamatan rakyat.