Bulan Ramadan menjengah kembali.
Namun, kali ini cukup berbeza berbanding bulan-bulan puasa sebelum ini.
Ini merupakan kali pertama umat Islam menyambut bulan penuh berkat ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Maknanya, amalan-amalan biasa yang kita buat semasa bulan Ramadhan seperti solat Terawih di masjid dan berkunjung ke bazar Ramadhan tidak dapat dilakukan kali ini.
Namun, peluang ini harus diambil untuk menghayati maksud sebenar bulan Ramadhan.
Walaupun kita tidak dapat berkunjung ke Bazar Ramadhan, terdapat inisiatif alternatif yang disediakan untuk memberi peluang kita menikmati juadah berbuka puasa dengan cara alternatif iaitu E-Bazaar.
Konsep ini walaupun dilihat baru untuk tahun ini tetapi modelnya tidak asing lagi di negara kita.
Melalui platform ini, pengusaha makanan boleh terus menjual produk mereka tanpa membuka kedai di mana-mana bazar.
Ini kerana, platform E-Bazaar ini memberi ruang untuk pengusaha ini beroperasi dari rumah masing-masing tanpa mengabaikan penjarakkan sosial.
Apa yang saya lihat menarik adalah potensi platform ini yang bakal mengubah bagaimana kita sebagai pembeli di masa akan datang.
Dengan platform ini, produk dapat dibeli dari mana-mana berdasarkan apa yang ditawarkan peniaga.
Diharap dengan bantuan dari syarikat perkhidmatan penghantaran, konsep E-Bazaar ini dapat terus diluaskan agar peniaga yang biasa menjalankan operasi ketika Ramadhan tidak terlalu terkesan.
Jika pengoperasian ini dapat diperkemas, saya pasti kita sebagai pengguna dapat manfaat kerana masih berpeluang menikmati juadah kesukaan walaupun berdepan PKP ketika ini.