UEM Edgenta Berhad, peneraju Pengurusan Aset dan Penyelesaian Infrastruktur negara telah mengumumkan keputusan kewangan yang belum diaudit bagi suku keempat (S4) dan tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2019 (TK2019).
Catatan ini menyaksikan syarikat memperolehi keuntungan bersih sebanyak RM188.0 juta berbanding RM152.4 juta pada TK2018.
Menurut Dato’ Azmir Merican, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta – pihaknya gembira kerana mampu mencatatkan pertumbuhan melalui kemenangan kontrak baharu yang signifikan berjumlah lebih daripada RM900 juta dalam bahagian Healthcare Support di Singapura.
Meskipun berhadapan dengan persekitaran operasi yang mencabar pada tahun lalu, syarikat berjaya mencapai sasaran tersebut.
Bagi S4, syarikat mencatatkan pendapatan sebanyak RM712.3 juta untuk TK2019 – ini merangkumi 21.2% lebih tinggi berbanding suku sebelumnya pada RM587.6 juta dan 10.0% lebih tinggi bagi tahun ke tahun (YoY) berbanding RM647.4 juta pada suku yang sama TK2018.
Manakala catatan PBT untuk S4 TK2019 pula sebanyak RM126.3 juta; peningkatan hampir lima kali ganda sebanyak RM25.9 juta berbanding suku sebelumnya dan juga lebih tinggi berbanding S4 TK2018 sebanyak RM83.1 juta.
Seterusnya, bagi keseluruhan tahun kewangan 2019 menunjukkan kedua-dua segmen perniagaan Pengurusan Aset dan Penyelesaian Infrastruktur UEM Edgenta mencatatkan pendapatan dan pertumbuhan keuntungan bagi tahun ini. Dengan kutipan pendapatan sebanyak RM2.4 bilion dan PBT sebanyak RM245.0 juta yang mewakili peningkatan YoY sebanyak 10.5% dan 23.4% berbanding RM2.2 bilion dan RM198.5 juta pada TK2018.
Selain itu, UEM Edgenta juga mengisytiharkan dividen interim ke-2 sebanyak 8 sen sesaham untuk TK2019. Dengan tambahan dividen interim pertama sebanyak 6 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen TK2019 sebanyak 14 sen.