Artikel

Ini Cara 23 Capital Menggantikan Bank Dalam Membiayai Kelab Untuk Pemindahan Pemain Bola Sepak Eropah

oleh Pirate Irwin / Diterjemahkan oleh Rnggt

Di dalam dunia bola sepak Eropah, mencari wang tunai sehingga berbilion pound sterling untuk membiayai pemindahan pemain boleh menjadi satu tugasan yang amat rumit.

23 Capital, sebuah firma kewangan milik Jason Traub – memahami akan kerumitan ini, dan telah menjadi sumber inspirasi kepada kelab-kelab bola sepak dunia dalam menyelesaikan masalah pembiayaan pemindahan ini.

Syarikat itu dilaporkan telah membantu membiayai pemindahan penyerang Perancis yang memenangi Piala Dunia, Antoine Griezmann dari Atletico Madrid ke Barcelona pada tahun lalu dan pembelian Joao Felix ke Atletico Madrid dari Benfica.

Ditubuhkan oleh Traub dan Stephen Duval enam tahun yang lalu, 23 Capital memasarkan diri mereka sebagai “sebuah syarikat permodalan dan penyelesaian yang eksklusif dan memberi penekanan khusus untuk sektor sukan, muzik dan hiburan”.

Inisiatif Penjualan Unik 23 Capital pada asasnya, adalah untuk menjadi lebih fleksibel daripada bank tradisional. 

Ia memberi alternatif kepada kelab-kelab bola sepak untuk mendapatkan dana bagi menandatangani pemain dan proses pengembangan industri pemindahan pemain bola sepak akan menjadi lebih mudah.

Pasaran Pemindahan Pemain Bola Sangat Luas

Kelab-kelab bola sepak dari liga ‘Big Five’, iaitu dari England, Sepanyol, Itali, Perancis dan Jerman digabungkan telah membelanjakan £5 bilion (RM 26 bilion) untuk bayaran perpindahan pemain bola bagi musim panas 2019, menurut juruaudit Deloitte.

“Sebahagian besar nilai sesebuah kelab bola sepak terletak pada nilai pemain mereka,” kata Traub kepada AFP di ibu pejabat syarikat di London.

“Ini dipanggil ‘aset tidak nyata’ atau intangible assets,” tambah beliau.

Traub berkata pihak bank mungkin tidak mengambil kira nilai pemain-pemain yang ada dalam mana-mana kelab bola sepak. 

Ini bermakna permohonan untuk meminjam duit oleh kelab-kelab bola ini akan ditolak dan tidak diterima. Perihal ini memaksa kelab-kelab tersebut mencari alternatif lain bagi membiayai pemindahan pemain.

“Di dalam lembaran imbangan bank,  sesebuah kelab bola sepak mungkin akan menyenaraikan stadium sebagai aset contohnya, tetapi ‘aset tidak nyata’ seperti nilai para pemain tidak akan diambil kira,” katanya lagi.

“Jadi modal besar ini menjadi terbatas dan ratusan juta pound tidak boleh tersenarai sebagai aset untuk pinjaman tersebut.”

Perkara ini menjadikan kelab bola sepak tidak mempunyai pilihan lain untuk memohon pembiayaan.

“Sudah tentu pihak bank tidak akan dapat beri pinjaman kerana fungsi bank itu adalah untuk tidak menerima konsep pemain sebagai sesebuah aset yang ada nilai. Jadi, di sinilah 23 Capital fahami rasional ini, dan masuk untuk menggantikan fungsi bank kepada kelab bola sepak ini.”

Timothy Bridge, Pengarah Deloitte’s Sports Business Group berkata, kelab bola sepak mempunyai beberapa saluran yang mereka boleh gunakan untuk membiayai pemindahan pemain.

“Lazimnya, kelab bola sepak yang ingin menjual pemain adalah sebab untuk melabur dalam pembaikan padang contohnya, demi mendapatkan kejayaan dalam jangka masa terdekat.”

Traub berkata 23 Capital sering akan memberikan bayaran keseluruhan untuk perpindahan secara sekali gus kepada kelab yang menjual.

“Tidak dapat dinafikan, kelab menjual mahukan wang tunai hari ini, yang mereka akan kemudiannya gunakan untuk beli pemain lain dan gunakan wang itu untuk tujuan lain,” katanya.

23 Capital mempunyai 50 pekerja yang terletak di seluruh dunia, dengan pejabat di Barcelona, ​​New York dan Los Angeles. Mereka menerapkan dasar “tunggu dan lihat” pada isu perpindahan pemain. 

Bagi Traub pasaran akan berubah mengikut musim permainan. “Biasanya pemindahan ini membawakan peluang untuk kelab-kelab memperbaiki nasib mereka di tengah-tengah musim permainan,” katanya. – AFP