Komunikasi adalah sebab utama mengapa rakyat menganggap bekas Menteri Pendidikan, YB Maszlee Malek gagal dalam tugasan beliau.
Berikut pendapat yang diberikan oleh Prof Madya Dr. Hamidin Abd Hamid, Pensyarah dan Penganalisis Politik Universiti Malaya, ketika diwawancara oleh Astro Awani lewat hari Khamis, 2 Januari.
Dr. Hamidin berkata walaupun terdapat pelbagai inisiatif, program, dan juga dasar yang baik sedang dilakukan oleh beliau, sewaktu menjawat jawatan Menteri Pendidikan, kesemua inisiatif ini menjadi kurang bermakna apabila isu komunikasi tidak dilakukan dengan baik.
Isu seperti membebaskan peperiksaan untuk murid tahap 1, isu gaji dan penempatan guru, dan juga pembasmian Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) semuanya kurang diamati oleh awam, jika media terus mengembar-gemburkan isu ‘remeh’ seperti kasut hitam.
Perihal ini jelas menunjukkan kekurangan mantan Menteri Pendidikan itu dalam kemahiran berkomunikasi.
Seterusnya, seorang lagi penganalisis yang diwawancara Astro Awani, Prof. Dr. Madeline Berma, pula berkata ‘memang wujudnya masalah persepsi di media sosial’.
Dr. Madeline, yang merupakan Mantan Ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara menambah ‘siapakah yang mengawal naratif kementerian tersebut’.
“Portfolio Pendidikan ini terlibat secara lansung dalam perbincangan negara. Impak mengawasi dan mengemudi isu pendidikan semestinya menjadi perbualan semua. Maka pentingnya pengawalan naratif itu dikendali oleh kementerian tersebut, dan bukannya pihak lain,” tambah Dr. Madeline lagi.
Maszlee Malik meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan pada 2 Januari 2020, sekali gus merupakan menteri yang pertama dalam era kerajaan Pakatan Harapan yang meletak jawatan.
Untuk makluman pembaca, tarikh 2 Januari juga merupakan hari pertama sekolah sesi tahun 2020 bermula.