Nestle (Malaysia) Berhad mencatatkan margin yang kukuh pada suku ketiganya berakhir 30 September 2019, mencerminkan jualan domestik yang mantap dan juga kejayaan usaha meningkatkan kecekapan dan penjimatan dalam persekitaran kadar tukaran dan kos komoditi yang kurang memuaskan.
Nestle Malaysia mencatatkan margin untung kukuh pada suku ketiga, dengan Untung Selepas Cukai sebanyak RM149 juta dan Untung Sebelum Cukai sebanyak RM192 juta, masing-masing peningkatan sebanyak 8.2% dan 2.6%, berbanding tempoh yang sama pada 2018.
En. Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia Berhad berkata, “Pertumbuhan margin keuntungan yang kukuh dipacu oleh jualan domestik mantap dan tumpuan kami dalam meningkatkan kecekapan dan penjimatan untuk mengukuhkan keuntungan sambil menghadapi tekanan kos luaran.”
Pertumbuhan jualan domestik tetap menggalakkan pada 1.7% selepas pelarasan pelupusan perniagaan tenusu dingin. Prestasi ini cukup memberangsangkan jika dibandingkan dengan angka jualan yang jauh lebih baik pada S3 2018, yang dicatatkan dalam tempoh GST 0%. Jumlah Perolehan menyusut sedikit dengan -2.2% kepada RM1.4 bilion pada suku tahun yang dilaporkan, mencerminkan tahun yang mencabar bagi eksport akibat ketidakpastian global.
“Pertumbuhan dalam jualan domestik kami diterajui oleh pelaksanaan jualan yang mantap, kejayaan berterusan hasil daripada inovasi produk dan sokongan pemasaran yang kukuh. Inovasi baharu yang dilancarkan pada suku tahun yang dilaporkan terus mendapat sambutan positif daripada pengguna, membolehkan Kumpulan untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam banyak kategori utama,” kata En. Aranols.
Pelancaran produk pada suku ketiga antara lain termasuk rangkaian STARBUCKS AT HOME, pelancaran semula NESCAFÉ GOLD Mixes, MILO Protein Up, pilihan NESCAFÉ Sedia Diminum Baharu, Wafer Kacang NESTLÉ Crunch dan Aiskrim DRUMSTICK Pika Pika.
Penilaian prestasi (semasa, 2019 berbanding 2018)
Di sebalik indeks sentimen pengguna yang menurun, jualan domestik yang kukuh terus mencatatkan pertumbuhan 2.6% bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2019. Kadar ini juga meningkat kepada 4.6% sekiranya pelupusan bahagian Tenusu Dingin tidak diambil kira. Perolehan meningkat sebanyak 0.4% kepada RM4.9 bilion, atau 2.1% tanpa perniagaan Tenusu Dingin.
En. Aranols turut berkata, “Prestasi lebih baik pada sembilan bulan pertama 2019 didorong oleh permintaan yang berterusan daripada pengguna dan jualan positif jenama-jenama kami. Ini dicapai hasil daripada permintaan kukuh dan sokongan pemasaran berkesan sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya, dan juga kejayaan inovasi produk dan penambahbaikan portfolio.”
Berasaskan perolehan kukuh Kumpulan, Untung Sebelum Cukai dan juga Untung Selepas Cukai bagi tempoh sembilan bulan meningkat sebanyak 1.1% kepada RM704 juta dan RM541 juta. Pencapaian ini disokong oleh pertumbuhan domestik mantap dan usaha proaktif dalam memanfaatkan kecekapan dan penjimatan untuk melabur dalam jenama.
Hasil daripada prestasi Kumpulan dan sejajar dengan komitmen kami untuk mencipta nilai berterusan bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak RM0.70 sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.
Mengulas dengan lebih lanjut, En. Aranols berkata, “Berpandukan asas kami yang teguh, keputusan Kumpulan masih mantap dan kami yakin dapat mencatatkan prestasi tahun penuh yang kukuh. Ketidakpastian pasaran global dan domestik (bagi pengguna dan komoditi) mungkin berlarutan namun kedudukan asas kami tetap teguh dan kami akan terus memberi tumpuan dalam memenuhi keperluan semasa dan masa depan serta jangkaan pengguna Malaysia, untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dan menjana nilai bagi semua pihak berkepentingan.”
“Dalam pada itu, kami akan terus memainkan peranan proaktif meningkatkan kecekapan dan menjana pendapatan untuk melabur dalam jenama dan mempertahankan margin kami. Ini merupakan strategi kami yang paling berkesan untuk menghadapi kos komoditi yang kian meningkat dan membolehkan pengguna terus mendapatkan jenama kami,” tambahnya.
“Di samping prestasi kewangan kukuh, saya berbangga dengan kemajuan kami dalam usaha mengurangkan sisa plastik dan pelbagai inisiatif untuk menyokong peladang Malaysia, termasuk keputusan kami baru-baru ini untuk menghidupkan kembali program perladangan kopi di Kedah,” rumus En Aranols.