Malaysia mengatasi jangkaan pasaran apabila Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi bulan Mei 2019 naik 4.0% berbanding tempoh sama, tahun lalu.
Aliran eksport dan permintaan domestik juga dilihat meningkat kukuh pada bulan yang sama.
Bagi tempoh Januari-Mei 2019, IPP Malaysia berkembang sebanyak 3.2% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.
Pada 3 Julai 2019 pula, S&P Global Ratings (Standard and Poor’s) telah mengesahkan semula penarafan kredit Malaysia pada A- dengan jangkaan stabil.
Ini berbeza dengan aliran pengeluaran perindustrian di ekonomi-ekonomi Asean lain yang sedang menguncup dalam bulan yang sama.
Di Filipina, Singapura dan Thailand, pengeluaran perindustrian mereka masing-masing jatuh 2.1%, 2.4% dan 4.0% tahun-ke-tahun.
Tambahan lagi, ekonomi Singapura bagi suku kedua 2019 hanya berkembang 0.1% tahun ke tahun, dan ini bersamaan dengan penguncupan 3.4% suku-ke-suku.
Ahli ekonomi HSBC iaitu Encik Joseph Incalcaterra menyatakan bahawa statistik terbaru dari Singapura merupakan “penunjuk awal kelembapan pertumbuhan ekonomi di rantau ini” akibat daripada perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat yang berlanjutan.